Perlis FM.

20 October 2014

Jangan dihukum anak kerana personalitinya.

Jangan dihukum anak kerana personalitinya.

Sejak kecil lagi, anak-anak menunjukkan personaliti masing-masing.

Ada yang jenis patuh dan memang berminat pada akademik. Kanak-kanak begini, selalunya cepat pandai membaca.

Ada pula kanak-kanak yang gemar aktiviti fizikal. Selalunya kanak-kanak lelaki memang suka aktiviti yang melibatkan pergerakkan, momentum, kelajuan dan kekuatan.

Ada kanak-kanak yang jenis pandai bersosial. Dia begitu mudah mendapat rakan kumpulan dan saudara sepupunya juga tak sabar menanti kedatangannya. Apabila bergaul, ada saja cadangannya untuk aktiviti bersama dan begitu bijak membuat orang lain ketawa.

Ada kanak-kanak yang sukakan seni. Begitu minat pada tarian, nyanyian, lakonan dan lukisan. Sejak kecil begitu gemar bermain dengan alat solek ibunya dan pandai memilih fasyen pakaian. Selalunya kanak-kanak perempuan menjurus ke arah ini.

Ada kanak-kanak suka pada alam sekitar. Suka main laut, suka pada haiwan dan serangga, suka aktiviti berkebun dan bermain pasir. Kalau hari hujan, suka nak pergi main hujan.


Kesimpulannya, setiap kanak-kanak itu berbeza. Tidak semua kanak-kanak suka aktiviti akademik sejak usia 2 tahun. Tidak semua kanak-kanak boleh lancar membaca pada usia 4 tahun. Tidak semua kanak-kanak boleh hafal ayat quran pada usia 5 tahun.

Perhatikan kecenderungan anak anda. Benar membaca, menulis, mengira itu penting. Tapi adakah kanak-kanak yang pandai baca umur 3 tahun itu pasti lebih berjaya berbanding kanak-kanak pandai baca umur 6 tahun?

Semua ibubapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Tiada salahnya untuk ibubapa berusaha melakukan yang terbaik demi anak-anak. Tapi wahai ibubapa, jangan mudah kecewa @ putus asa @ berasa stresssss jika anak anda belum boleh membaca pada usia 5 tahun. Sila bertenang, fikirkan kembali personaliti anak anda dan apa kekuatan yang dimilikinya.

Gunakan kekuatan yang dimiliki oleh anak untuk tarik minatnya. Jadikan kekuatan itu sebagai ganjaran pada apa yang anda target. Tukar cara pengajaran anda. Sila google pelbagai cara pengajaran membaca, menulis, mengira yang begitu kreatif dan ada di hujung jari saja. Ada banyak blog dan artikel di internet yang menerangkan cara-cara kreatif untuk mengajar anak kecil membaca.

Selain usaha ibubapa untuk melatih kemahiran membaca, menulis dan mengira, jangan lupa pula pada unsur-unsur lain yang juga sangat penting perlu dilatih sejak kanak-kanak. Ini termasuklah kejujuran, tanggungjawab, kebersihan, hormat, kerjasama, kesopanan dan sebagainya.

Semoga ibubapa berfikir di luar kotak, dan menerima seadanya anak masing-masing dengan kasih sayang.

No comments:

Post a Comment