Perlis FM.

24 October 2014

Pentingnya Masa Berkualiti




Untuk membina ikatan mesra antara ayah dan anak serta membantu membentuk karektor positifnya, ternyata peranan seorang ayah sangat berpengaruh. Oleh itu walau sesibuk mana pun dengan kerjayanya, ayah mesti menyediakan waktu khusus untuk anak atau disebut ‘bonding time’.

Masa berkualiti antara seorang ayah dan anak memberi peluang kepada mereka untuk menghabiskan masa berdua tanpa kehadiran ibu bersama. Apa aktiviti yang boleh dilakukan bersama anak? Semuanya terpulang kepada ayah untuk memilih aktiviti yang menggembirakan anak. Ayah juga perlu bijak membuatkan anak selesa dengan apa yang dilakukan.

Antara aktiviti yang sesuai mengikut gender anak seperti bermain bola sepak di padang, bermain permainan video, bermain lawan-lawan jika si anak adalah lelaki. Tetapi jika anak adalah perempuan, ayah boleh bermain permainan masak-masak, membacakan buku cerita atau membiarkan anak mendandan rambut ayah.

Itu jika melakukan aktiviti di dalam rumah, sekiranya memilih aktiviti luar rumah, ayah boleh mengajak anak menonton wayang, bersiar-siar di kedai kesukaan anak seperti kedai buku atau alat permainan, membawa anak menaiki kenderaan awam seperti LRT dan sebagainya.

Aktiviti berikut hanya sesuai dilakukan bersama anak-anak yang sudah berusia empat tahun ke atas. Jika anak masih usia bayi, ayah boleh menghabiskan masa bersama dengan menguruskan keperluan bayi sambil berbual-bual dengannya walaupun si kecil masih belum boleh bercakap tetapi dia akan tahu bahawa ayah ada di sisinya.

Menyediakan waktu khusus untuk anak tidak memerlukan masa yang panjang. Kadang kala masa antara 20 hingga 30 minit sehari untuk ‘bonding time’ sudah cukup memberi kesan jangka panjang kepada anak. Bahkan ia juga tidak memerlukan kos yang mahal atau perjalanan yang jauh. Paling penting masa bersama yang bermanfaat bersama si kecil.

Mungkin jika hari bekerja, ayah agak sibuk dan keletihan maka pastikan masa hujung minggu diganti dengan waktu yang lebih panjang untuk sesi ‘bonding time’. Bermain, berbual, bersiar-siar bersama adalah saat yang dinantikan oleh anak-anak. Yang pasti, ayah mesti menyediakan waktu untuk bersama-sama anak dalam usaha membina hubungan erat anda berdua.

No comments:

Post a Comment